Thursday 18 April 2013

Hati Yang Dipajak 1


[1]

AKU tunduk.  Yalah, nak buat apa lagi.  Tunduk jelah.  Bukan aku tak kenal wajah penemuduga ni.  Tapi, rasa kecilnya dunia.  Rasa malu pun ada tapi nak malu buat apa.  Bukan aku datang nak mencuri atau nak bom syarikat pereka fesyen ni.  Lebih teruk lagi, bukan aku masuk bogel tanpa seurat benang.  Bertudung siap ni.  Moden lagi aku belit.  Belajar dari majalah Nur yang aku pinjam daripada budak rumah sewa aku.  Nak beli sendiri, oh can not… membazir. 

“I tengok result SPM you ni, tersangat okey.  Hampir semua A tapi kenapa tak further study.  Dapat diploma setidak-tidaknya.”  Soalan yang aku rasa tak nak jawab tu dah keluar akhirnya.
Puas tanya hal peribadi, soalan ni pula keluar.  Huh… malas nak jawab tapi mengenangkan dia yang temuduga aku, aku ringankan lidah. 
“Masa tu keadaan ekonomi tak mengizinkan…”  Senang aku jawab.  Umum.
Dia sengih.  “Maksudnya?” 
“Err… ekonomi keluarga tak kukuh sangat.  Kebetulan bapak saya kurang sihat,” jelas aku lagi.
Dia mengangguk-angguk.  Dia yang aku nampak nama dia Zaiful.  Aku tak kenal tapi yang aku kenal di sebelah dia.  Duduk melekat macam kena gam kasut.  Senyum sinis pada aku. 
Zaiful berpaling pada perempuan yang… huh malas nak sebut tapi aku sebut jugak.  Yang aku kenal dari sekolah menengah.  Daripada tingkatan satu lagi.  Duduk sebelah aku tapi suka meniru aku.  Pernah curi buku nota aku dan mengaku dia punya.  Salin dan tampal jawapan periksa aku sampai aku kena potong markah sebab cikgu kata perasan diri baik dan pandai sampai bagi kawan sebelah tiru. 
“Macam mana, sayang?  D okey?” 
Mereka berbalas senyuman sebelum D… aku tak tahu stand for Darling atau nama pendek dia dari nama Adilah. 
“D okey je kalau Zack okey,” balas D sambil mengerling aku.
Kerlingan tak puas hati.  Kerlingan ada niat tak baik.  Jari-jemarinya memaut lengan Zaiful.
“Kalau you rasa okey,kita ambil dia jelah.  Lagipun dah banyak hari kita buat interview.  Setiap yang datang, you muncung je.  Ini you sengih, I assume you suka la…”  Zaiful a.k.a Zack kembali memandang aku.
Tegak tiba-tiba duduk. 
“Since my fiancée pun setuju, I hired you, Cik…” Zaiful kembali membelek fail tapi aku cepat-cepat menjawab nama sendiri. 
“Nazair.”
Macamlah ramai datang temuduga hari ni.  Rasanya aku sorang je dari tadi.  Dahlah menunggu Datin Seri D ni turun kemain lama.  Ingatkan Datin sungguh.  Tapi bila tengok rupa memang Datin.  Budak bercita-cita nak jadi Datin dulu lagi. 
“Oh, Cik Nik Nazair Amran.” 
Aku sengih bila dia menyebut nama penuh aku. 
“So, what should I call you?  Nik?  Naz?”
“Nair,” sahut aku laju-laju.
Wajah Adilah aku jeling seketika.  Senyuman anak patung dekat pasar raya aku hadiahkan pada dia.  Dia pun sama.  Tak kalah kini biarpun dulu, kalah tak terpanggil.
Kening Zaiful naik.  Dia jeling Adilah lagi. 
“So, kenalkan diri you pada dia.”
Adilah mencebirkan bibir dia yang merah.  “Adila…”  Dia menyebut nama dia tapi tiada H kat belakang. 
Kedengeran bandarlah sikit.  Huh…
“But you can call me… D.” 
Aku mengangguk-ngangguk.  Aku tak tahu Adilah ni kenal aku ataupun tak tapi aku yakin dia kenal.  Cara dia jeling, dia kerling, dia pandang, dia telek tu… mana mungkin dia tak cam.  Karutlah kalau tak cam.  Nonsence orang putih cakap.
“Baik, Cik D… saya Nair.”  Giliran aku pula berlagak cool. 
“Bila you boleh mula kerja?” 
Adilah bertanya lagi saat Zaiful bangkit dan menghulurkan fail aku tu.  Tak jawab dulu, aku sambut fail, khazanah harta aku tu.
“Sekarang pun boleh…”  Rajin sungguh aku.  Sekarang nak mula.  Berkobar-kobar.
Dia kerling lagi tunang dia.  “You nak minum?” 
Dahi Zaiful berkerut.  Dahi aku lagilah.  Sikit lagi nak boleh tumbuh alur dekat dahi.
Zaiful mengangguk akhirnya. 
“Jom, kita keluar,” ajak Zaiful.  Dia angkat tubuh dari duduk.
Tapi, Adilah menahan.  “Kat opis je.  Kita kan banyak tempahan nak kena uruskan.”  Dia memandang aku pula.
“Kalau you kata boleh mula sekarang, apa kata you buatkan kami air.  Nescafe, kurang manis, kurang nescafe.  Untuk Zack, susu pekat lebih sikit.  Serbuk nescafe pun sama...” 
Selamba bombaman dia arahkan aku buat air pada hari pertama aku bekerja.  Kira hari pertamalah sebab dia kata aku kerja sekarang.
“Err… kiranya saya ni diterimalah jadi PA Encik Zaiful, ya?” 
Zaiful angguk.  Dia senyum. 
“D luluskan, kira okeylah.  Kalau tak dia muncung je.  Yang datang semua tak berkenan but you are so lucky… you caught by her eyes,” jelas Zaiful ramah.
Padanlah ada Adilah sekali.  Gamaknya yang datang sebelum ni cantik jelita, seksi tahap kain sejengkal kot.  Nak-nak aku tengok Zaiful ni pun bukan calang-calang orang.  Kacak dan bergaya tapi sorry, you did not caught my eyes.  Aku mencemik tapi dalam hati. 
“Wow, terima kasih encik, cik…” ucap aku. 
“So?”  Laju je Adilah menyampuk.
“Apa?”  Aku tanya dia kembali.  Gamam beberapa saat. 
“Air?”  Mata dia dah membulat. 
Aku gelabah sedikit.  Mana aku tahu kat mana pantry apa semua?  Ada dapur ke?  Kot ya pun tunjuklah dulu.  Ini  hari pertama aku.  Besar tak besar pun, adalah tiga tingkat kedai fesyen D’Sire milik dia… kot?  Entah. 
“Saya tak tahu kat mana dapur,” luah aku penuh kejujuran. 
“You keluar pintu bilik meeting ni, you jalan terus belok kiri.  Nanti you jumpa pintu warna oak gelap, itulah pantry.  We not call it dapur but pantry,” sindir Adilah.
Aku terangguk-angguk lagi. 
“Oh, pantry… okey-okey.  Maaflah, Cik D, dulu saya pernah kerja dekat kantin sekolah je.  Ada dapur.  Tak ada pulak diorang sebut pantry.”  Aku sengih.  Sempat loyar buruk. 
Kena fired, baru padan muka sendiri. 
“Saya keluar dulu, ya… buat air.”  Aku melangkah bila fail hitam itu aku letak ke dalam beg galas. 
Mana-mana pergi galas beg.  Senang biarpun Alia, budak rumah sewa aku tu kata aku macam budak-budak padahal umur dah layak jadi mak budak.
Langkah punya langkah, sampailah juga.  Rasanya ofis ni kosong.  Kerling jam, oh dah tengah hari.  Padanlah.  Aku jingkit sedikit.  Nak capai botol nescafe dari atas kabinet yang kalau boleh, aku rasa biar diorang gantung dekat langit.  Senang aku naik jet ke, belon ke nak capai benda tu.  Huh…
“Hadoi… kenapalah letak tinggi-tinggi.”  Aku dah mula membebel sendiri.  Tabiat buruk bila bersendiri, cakap sorang-sorang.
Aku kemudian tarik kekuda.  Nak panjat tapi tak sempat nak panjat kerusi, ada jasad yang dekat di belakang. 
Aku mengeraskan badan.  Sexual harassment.  Baru hendak memberi siku, dia bersuara.
“Kalau rasa diri tu pendek, jangan suka letak barang tinggi-tinggi…”
Aku berpaling juga bila dia meletakkan botol nescafe itu dan itupun secara kasar di atas table top marble hitam ni.  Pecah nanti…
“Eh, orang hari pertama kerja sini tau…”  Sejurus aku berpaling, aku terus menapak ke belakang.
Lelaki.  Tinggi.  Tak senyum.  Muka ketat.  Mata kelopak satu, hidung mancung terletak, rambut pacak dan… dia tayang wajah suci.
“Mana pejabat bos?”  Dengan begitu tenang dia menyoal.
“Err… sana…”  Telunjuk aku lurus tapi entah manalah aku tunjuk. 
Ikut dialah.  Mana aku tahu kat mana. 
“Huh, kalau aku ada pekerja macam ni, memang tak lamalah…”
Amboi dia… aku baru kerja beberapa ketika tadi dia boleh cakap tak lamalah? 
“Orang dah cakap, orang ni orang baru kat sini…”  ujar aku menahan langkah dia yang hanya baru beberapa tapak.
“Orang?”  dia sengih. 
“Tu… orang?”  Bibir dia muncung ke arah aku.
“Ha’ah…” 
“Setahu saya orang utan dekat Zoo Negara.  Kalau orang kat sini semua ada nama,” sindir dia dan aku hampir saja buat somersault pada dia dengan botol kaca nescafe ni.
Tapi, aku tahan hati.  Rezeki ni untuk kos perubatan chek.  Tak banyak pun, dapat tampung ubat-ubatan dia pun jadilah.  Lelaki tadi menapak laju mencari destinasi tapi tak sempat lepas ambang pintu pun, Zaiful muncul. 
“Eh, Mr.Q…” tegur Zaiful.
Huh, semua masuk sini jadi nama pendek ke?  Adilah  jadi D, Zaiful jadi Z dan dia ni siapa pulak nama dia, dipanggil Q?
“Oh my God… tak sangka you datang cari I, Mr. Q?” 
Q tu sengih lagi pada Zaiful dan bersalaman.  “Sorry.  I dah dapat mesej you dah banyak hari tapi hari ni baru sempat datang.” 
“Oh tak apa.  You sudi datang, I berbesar hati sangat,” balas Zaiful penuh tertib.
Nampak hormat benar pada Q.
“Oh, Nair, tambah lagi secawan air, ya?  Bawak ke bilik I.  Kita ada tetamu istimewa ni, Encik Qalam…”
Huh… nama dia Qalam?  Maksud cantik tapi dah dipendekkan, memang kena ikut que la.
“Baik, Encik Zack…”  Dan aku pun, pandai pulak berlakon panggil tunang Adilah ni, Encik Zack. 
Qalam tu berpaling.  Memandang aku tanpa senyuman. 
“You better get another designer… she’s not qualify at all,” ucap dia lalu melirik aku dari atas ke bawah. 
Apakah? 
Dan mereka berdua, terus berlalu dengan tawa Zaiful.  Huh… mana ada buruk pun.  Aku pakai skrit kembang.  Aku pinjam dari Alia juga.  Aku pakai t shirt lengan panjang dan aku belit tudung.  Nampak stailo dah tadi masa aku tilik penampilan aku pagi tadi.
“Ini tak qualify?  Jangan sampai kau que nak ngorat aku nanti, sudah…” 
Geram.  Tapi, geram pun bancuh juga air.  Nanti, masuk rekod Malaysia.  Hari pertama kerja, hari pertama tu jugak dipecat.  Nanti kesian chek.  

bersambung

5 comments:

  1. interesting.....keep it up...

    ReplyDelete
  2. Mr.Q tu la hero en... coz kt prolog ade sbut name alam...

    ReplyDelete
  3. ras-rasanya Alam kt prolog tu Mr.Qalam kot kan??? truja nk bca bab sterusnya....

    ReplyDelete
  4. Wah.....ada watak sama nama dengan saya lah~~~~~~
    Mr. Q muahahahhaahahahha...i love this!!!
    btw...D tersangatlah annoying!! urgggg... *puke*

    next~~~

    ReplyDelete