Monday, 22 April 2013

Hati Yang Dipajak 2

[2]

AKU berjalan masuk menuju ke bilik bos yang sebenarnya aku sendiri tak pasti di mana.  Sebab tadi aku di bilik perbicangan.  Nak kata bilik mesyuarat, tak adalah besar sangat.   
Pertama kali buat air setelah beberapa tahun.  Kat rumah sewa banyak teguk air segera je.  Sampai ke air masak pun aku beli dekat Tesco.  Senang kerja.  Balik terus teguk. 

Mata melingas ke kiri dan kanan mencari arah tujuan.  Tujuan yang aku rasakan agak kelam sebab ada Adilah dalam syarikat ni.  Dah tentu-tentu aku dikulikan.  Janji gaji setimpal, ada apa hal?
Aku senyum.
Tapi tak lama bila Adilah menegur sinis. 
“Eh, lama betul buat air?”  Dia berpeluk tubuh dan bertenggek pada sebuah meja kosong.
Serius pejabat ni kosong.  Yang ada hanya Encik Z, Cik D iaitu dia di depan aku ni, seorang tetamu yang mulut bocor bernama Encik Q dan jugak... aku.  Cik N.  Mungkin?  Sebab nak sangat nama pendek, kan?
“Eh, Cik D... maaflah.  Dah lama siap tapi tak jumpa bilik bos...”  Aku sengih.  Agak sumbing.
Adilah mencemik.  Pelukan pada tubuh sendiri dileraikan dan dia menapak maju ke arah aku.  Diintainya sedikit dulang yang ada.  Aku juga sama.  Intai kaki dia. 
Huh, masih kurang tinggi macam dulu jugak.  Padanlah main netball je asyik kena siku dengan aku.  Tapi, secara tak sengaja yang pasti.  Elok sangat bila aku jadi GD (Goal Defence) dan dia GA (Goal Attack).  Sekali aku guard, dia tak lepas nak score bola.  Tapi itu kisah dulu.  Sekarang ni dia masih rendah tapi berlagak tinggi dengan kasut dia setinggi empat inci itu.  Cumanya, pangkat dia terlebih-lebih tinggi dari aku.  Maksud lainnya, aku kuli dan dia bos. 
“Kenapa tak hantar bilik discussion je?”  soal dia lagi.
Aku senyum tipis.  “Encik Z kata hantar bilik dia.  Ada tetamu tadi.”
Kening Adilah berkerut.  Kening tipis yang sedia cantik terandam sebenarnya.  Azali lagi. 
“Siapa?” 
“Err... saya tak kenal tapi kata Encik Z nama dia Encik Q.  Encik A je tak ada,” ujar aku meloyar buruk sampai Adilah pun menjegilkan mata dia yang separuh bulat itu.
“Kau jangan main-mainkan aku eh... kau ingat kita zaman sekolah ke?  Kalau rasa nak lama kat sini, jangan nak memandai!”  tegas dia member amaran.
Dan hati aku cakap... padan  muka kau Nair.  Ingat ini zaman tok kaduk dulu boleh kau perlekehkan dia.  Sekarang, hukum karma berlaku.  Aku di bawah dan dia di atas.  Cumanya dia tak tahu, aku memang dilahirkan menjadi seorang yang luhur hatinya.  Kesan didikan chek dan mak. 
“Err... maaf, Cik D.  My bad.”
Adilah senyum sinis.  “Betul ke Encik Q ada?” 
Aku jatuhkan kepala mengiyakan.  Jawab Encik B karang, salah pulak.  Dah orang cakap Q, tak kan jadik O?
“Ya, Cik D...”
“Sorang?”  soal dia penuh minat.
“Ya, Cik D...” 
Dah kenapa aku jawab macam orang dungu je ni?
Wajah Adilah berubah.  Nampak bersinar-sinar.  Orang putih cakap, glitter lah.  Dahi aku muncul kerut beberapa lapis.  Nampak pelik.
“Errr... kalau Cik D nak masuk bilik Encik Z, boleh bawakan air ni sekali, ya?” 
Mata dia terjegil tiba-tiba. 
“Aku bawak air?  Aku?”  Jari telunjuk runcingnya terhala pada wajah dia sendiri.
Aku sengih pelik.  Nak kena ketuk lagi agaknya Nair ni.
“Err... maksud saya, Cik D nak ke bilik Encik Z, boleh saya ikut sama.  Saya pun tak tahu mana satu bilik dia.” 
Huh... sempat aku corner lipat.  Kalau tidak, kejap lagi bungkus barang boleh jalan. 
“Hah, sini,” ajak dia kasar. 
Dia menapak bergaya.  Sekali aku tengok Adilah buat catwalk dan sungguh bila aku berpaling ke kiri kanan bahagian rekabentuk ni aku ternampak dua buah poster milik Adilah yang sebesar alam.  Sedang menayang body yang solid-molid dan sedang bergaya ala-ala Amber Chia gitu.  Model antarabangsa you. 
“Err... you model ke, Cik D?” 
Langkah dia tiba-tiba berhenti di depan sebuah pintu.  “What do you think?”  suaranya sinis. 
Huh, tercabar sabar aku. 
“Err... ya kot.  Nampak gambar bergaya... hebat-hebat semua,” puji aku dan pujian ini jujur okey. 
Sebab mata aku agak terpukau dengan gambar-gambar tu.  Satu kurang berkenan, dia dah berbeza sungguh.  Tak ada lagi tudung menutup kepala.  Rambut pun sudah keperangan dan pakaian dalam gambar yang tergantung pada dinding tu agak seksi.  Tak cukup kain.
Pintu bilik aku ketuk.  Perlahan je.  Tapi tak ada jawapan.  Ketuk lagi sekali, dan kali ini lebih kuat.  Tak ada jawapan jugak.  Mudah cerita, kaki ada… aku tending pintu sekali.  Puas hati. 
“Kalau you nak tahu, sebelum model-model cuba pakaian yang Z reka, I orang pertama yang akan cuba.  Saiz semua  ikut badan I sebelum Z siapkan untuk beberapa saiz tapi...” 
Mata Adilah merenung aku dari bawah ke atas, atas ke bawah.
“... bukan untuk figure macam you lah,” sambung dia.
Huh, pedih jiwa mak nak.  Buruk sangat ke figure aku?  Tak tunjuk je ni.  Memang agak berotot. Orang kampong.  Kerja bendang semua.  Berperang dengan lumpur dan kerbau.  Memanglah macam ni tapi ini kira boleh pakai jugak apa. 
“Ha’ah, yalah.  Dah sampai ke bilik bos?”  tanya aku melarikan tajuk perbualan. 
Adilah mengangguk.  “Bukak pintu,” arah dia.
Aiseh... aku kan dah pegang dulang. Dia suruh bukak pintu pulak.  Buatnya berterabur air ni atas karpet mahal ni, sia-sia je nanti aku kena pecat. 
“Saya kan...”
Huh, tak sempat nak sudahkan ayat okey... mata sepet Adilah dan mencerlung.  Menghantar maksud, kenapa pulak I nak kena bukak.  I siapa dan you siapa?  Agaknyalah dia cakap macam tu. 
Aku pun apa lagi, mudah cerita aku tendang pintu yang nampaknya tak tertutup rapat.  Sekali tendang, zappp... terbuka lebar. 
Serta-merta Encik Z dan Q berpaling pada aku dan Adilah.  Mata masing-masing merenung tajam.  Tak sangka kot aku tendang pintu.  Rasanya dah perlahan tapi kasut aku ni keluarkan bunyi sikit kot.  Itu yang gedegang.
“Err... air Encik Z,” beritahu aku penuh sopan. 
Yang pasti dalam ketakutkan jugak.  Dia menggamit aku masuk. 
“D, come here... I kenalkan you dengan Mr. Q,” ajak Z lembut.  Dia senyum pada D dan D menapak perlahan penuh gaya.
“Nair, you letak air dekat meja coffee tu eh.  Kami ada sikit lagi discussion,” suruh Encik Z pada aku.
Perlahan-lahan aku menuju meja kopi yang nampak sedikit semak dengan pelbagai majalah fesyen.  Semua international punya.  Sambil letak air, sempat aku jeling.  Lama-lama aku terperasan ada juga yang menjeling aku. 
Bila aku kalih, Mr. Q sedang merenung aku tapi renungan menjengkelkan.  Itulah yang aku klasifikasikan pada renungan dia. 
Aku nampak D duduk di sisi Q yang masih merenung aku, membelakangkan D. Hinggalah Encik Z memanggil, barulah dia berpaling tepat pada D dan melepaskan wajah aku dari rakusnya mata dia.  Huh...
“Kenalkan, my fiancée... D,” beritahu Encik Z pada Q.  Dengan senyuman lebar.
Tenang... Q bangkit sedikit dan menghulurkan tangan pada D.  Yang anehnya, aku nampak D terketar-ketar nak sambut huluran salam Q.  Okey, aku agak D menjaga tatasusila.  Mana boleh lelaki dan wanita bukan muhrim bersalaman.  Bersentuhan kulit.  Ada logik kat situ.
“Qalam... Qalam Aqram.”  Q menyebut nama penuh dia. 
Tiba-tiba mata D membulat.  Lambat-lambat dia sambut jugak salam Q dan mereka berjabat tangan lama ditemani senyuman Encik Z.
Oh parah... sangkaan aku meleset.  D pun dah tak kisah antara haram dan halal.  Aku aje nak berlebih kenapa?  Tangan aku masih menyusun majalah yang ada di atas meja.  Sesudah itu, cawan Nescafe yang aku rasa nak suam-suam kuku tu aku letak cermat. 
“Err... air dah sejuk, Encik Z.” 
Aku berkata.  Mengurangkan ketegangan yang pasti.  Serentak itu tautan tangan Q dan D terlerai.  Mereka sama-sama berpaling pada aku dan aku nampak D telan liur. 
Huish... dahaga sangat tu sampai kering tekak D ni.  Aku sengih lagi dan membetulkan selendang sedikit.
“Jemput minum, ya?” pelawa aku dan terus memasang langkah  hendak keluar tapi kaki aku terpaku lagi pada karpet warna merah hati ni. 
Suara dia... Encik Qalam Aqram memanggil. 
“Siapa nak awak?”
“Err... saya ke?”  Aku tunjuk batang hidung sendiri.
Dia angguk.
“Nazair...”
“Panggil apa?  Air?” 
Huh, tak sempat aku nak jawab, dia dah sebut dulu.  Main-mainkan  nama aku yang sememangnya unik itu.
“Nik Nazair.  Boleh  panggil Nair kalau encik sudi.”  Sengaja kau bidas dia dalam kesopanan.
Qalam tersenyum pada hujung bibir.  “Designer?” 
Aku menggeleng.  Sejujurnya aku tak tahu apa jawatan aku.  Yang aku tahu aku akan menjadi pengurus hal-hal peribadi dan juga rasmi untuk Encik Z.  Kalau designer tu termasuk dalam skop kerja aku, apa aku nak buat.  Port folio macam mana nak kena aku baca?
“Err... PA I, Encik Qalam,” jawab Encik Z laju.
D yang ada di depan dia dan di sebelah Qalam nampak menggigil dah.  Aku gigit hujung jari telunjuk sedikit dan aku angkat sedikit tinggi ke udara.  Air-cond tak rasa apa pun.  Yang D menggigil tu kenapa? 
“Eh, I nak ke ladies kejap, Z... you all minum dulu.  I’ll be here in minutes...”  D meminta diri.  Bergegas menapak.  Hilang catwalk.  Diganti pula dengan jalanan yang sedikit bersepah. 
Saat melalui aku, dia menjeling dengan ekor mata.  Apa pulak tak kena ni?  Hari pertama kerja pun macam-macam hal aku kena tengok.  Cedera anak mata aku. 
“Eh, silakan, Encik Z dan errr... Encik Q...”
“Qalam... saya prefer orang panggil saya nama Qalam kalau tak nak panggil nama penuh pun,” sinis dia.
Encik Z ketawa.  “Maafkan dia, Encik Qalam... hari ni hari pertama dia.  Masih banyak dia tak tahu.  By the way, thanks for the Nescafe, Nair.  You may go,” arah Encik Z dan aku lepaskan keluhan lega.
Gila tak lega?  Lega keluar daripada bilik yang aku rasa macam oven ni.  Boleh terbakar aku.  Tak payah pergi sauna bakar lemak.  Dok dalam bilik yang ada QALAM itu pun dah boleh buat jantung aku terbakar.  Yang D pulak... lesap.  Biarkan dia. 



TEMPAT DUDUK PUN TAK TAHU LAGI.
Pelik betullah diorang.  Pekerja hanya aku sorang.  D boleh  jadi pengurus dan Encik Z pengarah.  Aku ini, kuli pencacai.  Jawatan rojak barangkali. 
Baru aje aku jumpa tempat duduk aku dan aku yakin  memang aku punya sebab inilah satu-satunya meja  yang lengkap dengan computer dan telefon juga sebekas alatulis, tak sempat labuhkan duduk ada suara memanggil.
Aku kalih.  Wajah pucat D terserlah. 
“Aku nak balik.  Kalau Z cari cakap aku balik rehat dulu.  Suruh dia call aku malam-malam nanti,” arah dia lantas dia menapak laju menuju ke pintu kata yang tertera nama D’Zire. 
Tak sempat nak berkata apa dia dah balik.  Aku angguk sudah.  Laci meja aku buka.  Kosong.  Aku letak beg galas.  Laci paling atas aku buka, ada beberapa buah fail yang di dalamnya tertera beberapa jenis lakaran fesyen yang aku sendiri tak tahu sebab aku tak belajar fesyen. 
Perlahan-lahan aku belek penuh minat. 
“Wah... gila tak cantik fesyen diorang ni.  Menakutkan.”  Gumam aku sambil buat-buat meremang bulu tengkuk. 
Aku pandang pulak diri sendiri.  Kata Qalam ; cari orang lain.  Aku tak sesuai kerja dengan designer fashion.  Huh, sungguh ke.  Tapi, kenapa Encik Z ambik aku.  Sebab D sungguh ke?
Baru hendak berangan, ada jari telunjuk yang mengetuk meja. 
“You need fashion consultant kalau nak remain kerja dekat sini.”
Aku angkat kepala.  Wajah Qalam terlayar di depan  mata.  Dia lagi?  Orang nak relaks kejap nak biasakan diri dengan meja baru ni, dia kacau daun pulak.
Aku bangkit dan sengih.  “Buruk sangat ke fesyen saya ni?” 
“Buruk tu tidak tapi menyakitkan mata...”
“Oh, kalau macam tu, janganlah pandang saya.”  Mudah aku mengarahkan.
Ya iyalah... kalau dah eyesore sangat, pandanglah dinding berwarna-warni sana.  Kalau aku tak angkat kepala dekat work station ni, tak ada orang tahu aku wujud dalam D’Zire ni. 
Mata Qalam nampak tajam mencerun tapi kejap je sebab mata itu kembali tersenyum.  Jengkel seperti awalnya tadi.
“You ladybos pergi mana?” 
Haih... orang lain  yang dipesan orang lain yang bertanya.
“Balik.  Heartache.”  Selamba bomba aku jawab macam tu.  Penambah perasa betul.
“Dengan siapa?” 
“Dengan yang bertanya ni.” 
Serta-merta wajah Qalam berubah.  “Serius?”
Tubuh Qalam nampak terenjat.  Kedua-dua belah tangannya mendarat pada dinding workstation aku. 
Aku angkat dua batang jari.  “Dua rius...” dan aku sengih plastik.
Lama-lama wajah tegang itu bertukar tenang.  Tangannya dijatuhkan kembali ke sisi.  Dia senyum tipis.  Masih senyuman jengkel.
“Let say saya beli D’Zire ni, awak orang pertama saya pecat...” gumam dia antara dengar dan tidak.
“Tapi...”
Huh, ada tapi pulak?  Kening aku terangkat.  Malas nak layan.  Tapi bukan ke pelanggan perlu diutamakan?  Tapi aku tak tahu dia pelanggan ke penyibuk. 
“Tapi?” 
“Disebabkan awak pandai bancuh air, I will remain you here... as my tea lady,” ujar dia menyambung kata.
Rahang aku rasa sampai ke lutut.  “Tea lady?  Saya PA sekarang tau?  Orang kedua penting dalam syarikat ni,” tegur aku.
“Okeylah tu.  Tea lady adalah orang pertama yang bos akan cari masa sampai ofis.  Gila tak bangga,” ujar dia penuh sindiran.
Aci kat india tak kalau aku tangankan dia? 
“Encik Qalam ni pelanggan D’Zire ke?”  tanya aku nak tahu. 
Iya iya je cakap dia bakal pemilik D’Zire yang baru pagi tadi aku temuduga dengan pemilik dia.
“Yeah, kalau Zaiful sudi dengan harga yang saya tawarkan...” dia terhenti seketika.
“... harga termasuk semua barang-barang dan pekerja dia,” sambung Qalam dengan bisikan yang menakutkan. 
Dia sengih dan menarik Ray Ban nya keluar dari poket lalu dipakaikan ke wajah.  Paket lengkap mamat poyo berlagak muka suci. 
Boleh tak aku letak jawatan  hari pertama aku kerja ni?

5 comments:

  1. nk terbit under saya tak? saya publisher baru. ada yang setuju pun main2. sekejap bagi. then tarik balik. erm...selamat berjaya,

    ReplyDelete
  2. SUKA~~~~ Suka dan suka...
    Tapi still saya kena baca 2-3 kali untuk faham. *macam saya baca novel Hlovate/Nasz, mmg mengambil masa untuk faham*

    Mungkin saya yg bermasalah, bukan awak.. Teruskan menulis ya!!! ^^

    ReplyDelete